Showing posts with label iii. Ramadhan dan Sains. Show all posts
Showing posts with label iii. Ramadhan dan Sains. Show all posts

Thursday, August 19, 2010

Puasa dan Kesihatan

Rina Aznita Ariffin
AJK Kebajikan
Biro BIJAK-ISMA
4th year MBBS, Monash University, Clayton Campus
Sumber: http://www.ismaaustralia.com/puasa-dan-kesihatan
 
Puasa telah diamalkan semenjak dahulu kala. Manusia dari pelbagai agama, budaya dan negara mengamalkan puasa mengikut definisi masing-masing. Penganut agama Hindu berpuasa dan ia dikenali sebagai upawaasa. Golongan Yahudi pula berpuasa pada hari Yom Kippur. Nabi Musa a.s juga diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk berpuasa selama 40 hari ketika beliau bermunajat pada Allah s.w.t. Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Phytagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa (Dr Danial bin Zainal Abidin, 2008 [M.B.Ch.B. Alexandria]).
 
Pada 1994, sebuah kongres antarabangsa yang diadakah di Casablanca menampilkan pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia. Hasil pembentangan daripada 50 buah kertas kerja yang bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadhan’ mengesahkan puasa di bulan Ramadhan tidak mendatangkan kemudharatan malah ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai penyakit. (The Spiritual and Health Benefits of Ramadan Fasting, Dr. Shahid Athar, M.D). Mari kita lihat apa istimewanya puasa sehinggakan ia diamalkan oleh pelbagai manusia sejak sekain lama.
 
Kesihatan spiritual
 
Solat, berzikir, bermunajat dan bersendirian dengan Allah akan mendamaikan hati kita sebagai hambaNya. “ … Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” [13:28] Dengan firman Allah ini, maka tidak ragu-ragu lagi bahawa waktu Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk kita membajai kesihatan spiritual kita. Tambah lagi, pada bulan ini sahaja Allah menawarkan Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
 
Selain itu, dalam keadaan lapar dan dahaga, kita akan lebih merasai penderitaan orang lain yang tidak dapat menikmati kemewahan makan dan minum seperti kita. Ini akan menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur pada Allah atas nikmat yang kita peroleh selama ini.
 
Kesihatan fizikal
 
Puasa dapat membantu proses detoksifikasi dalam badan kita. Detoksifikasi bermaksud membersihkan badan daripada bahan buangan atau toxin. Menurut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, sewaktu berpuasa, organ badan membersih dan berehat.Ia juga dapat mempercepatkan proses perkumbuhan dan pembentukan semula sel-sel badan.
 
Daripada Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them oleh Dr. Cindy Engles (Ph.D), binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan.
 
Selain itu, puasa juga dapat menolong metabolisma badan untuk menjadi lebih stabil. Kadar gula, lemak dan garam dalam badan akan menurun disebabkan pengurangan pengambilan makanan justeru memudahkan badan kita untuk proses detoksifikasi. Penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kadar kolestrol yang tinggi juga dapat dikawal dengan lebih mudah tanpa dos ubat yang banyak. Ini dibuktikan lagi apabila kaedah utama yang akan digunakan oleh doktor-doktor perubatan bagi mengubati penyakit-penyakit tersebut adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan terutamanya makanan-makanan tinggi kalori.
 
Dalam satu kajian terhadap 32 orang lelaki yang berpuasa Ramadhan, didapati peratus kolesterol keseluruhan menurun sebanyak 7.9% (7.9%, p<0.001) dan lemak trigliserida juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001) berbanding paras sebelum mereka berpuasa. Ini menunjukkan puasa Ramadhan dapat membantu pengurangan lemak-lemak yang tidak sihat dari dalam badan kita.
 
Kesihatan mental
 
Apabila badan kita kurang berkerja untuk menghadam makanan, kita akan mendapati badan sentiasa dalam kerehatan terutama pada waktu malam. Apabila badan dalam keadaan rehat, minda kita juga akan tenang. Ini memudahkan lagi kita untuk mendapat tidur yang berkualiti. Mengapa ini penting?
 
Tidur yang berkualiti bukan sahaja terbukti dapat mempercepatkan proses penyembuhan badan malah dapat menyihatkan mental. Oleh kerana proses pemulihan banyak berlaku sewaktu tidur, maka tidur yang nyenyak dan berkualiti ini amat penting untuk menjamin kesihatan kita. Kurang tidur atau tidur yang terganggu menyebabkan badan dan otak kita lesu serta tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Justeru menyebabkan ketidakstabilan emosi dan rohani.
 
Pakar-pakar mendapati tidur adalah lebih nyenyak di bulan Ramadhan. Perubahan ini membantu fokus dan konsentrasi Muslimin di musim Ramadhan dan menjadikan mereka lebih produktif. (Dr. Ebrahim Kazim, Further Essays on Islamic Topics)
 
Tips kesihatan Ramadhan
  • Melebihkan minum air kosong untuk mengelakkan ‘dehydration’
  • Tidak berbuka atau bersahur dengan makanan yang terlalu pedas untuk mengelakkan mudharat kepada perut
  • Bersahur untuk membekalkan tenaga sepanjang hari: “Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada berkat.” (Riwayat Bukhari)
  • Berbuka dengan makanan ringan terlebih dahulu dan tidak berlebihan dengan makan dan minum: Anas bin Malik meriwayatkan, “Rasulullah berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (iaitu kurma basah) sebelum solat, kalau tidak ada kurma basah maka baginda berbuka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
  • Bersegera dalam berbuka puasa: Nabi bersabda, “Manusia berada dalam keadaan baik selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Mengawal nafsu dari segala sudut:
  • “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, maka tidak ada bagi Allah hajat (untuk menerima) amalannya meninggalkan makan dan minum.” (Riwayat Bukhari)
  • … dan pelbagai tips-tips lain yang selari dengan syarak dan sunnah Rasulullah s.a.w
Kesimpulannya, kesihatan spiritual melalui ibadah, kesihatan mental melalui tafakur dan kesihatan fizikal melalui metabolisme badan yang terkawal di bulan Ramadhan akan menjadikan kita lebih sihat secara holistik.
 
Namun, kesemua hikmah puasa ini akan tercapai sekiranya dilaksanakan dengan betul mengikut syarak dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Terlalu banyak hikmah puasa yang boleh digarap, namun yakinilah sesungguhnya tujuan utama puasa ialah supaya kita mencapai ketaqwaan pada Allah s.w.t yang menciptakan hambanya dengan sebaik-baik ciptaan. Wallahu ‘alam.
 
Nukilan Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria), Majalah Kosmik DBP, September 2008

Sunday, August 15, 2010

Menilai Kualiti Puasa Lalu

Siti Shamsiah Binti Md Supi
Pegawai Penyelidik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber: http://www.ikim.gov.my

Aidil Fitri seharusnya memberikan seribu satu kegembiraan kepada kita dan seluruh umat Islam. Ibarat meraikan kemenangan yang dianugerahkan kepada setiap Muslim selepas melalui satu kem ibadah dan disiplin diri.

Melalui Firman Allah SWT, Sunnah Rasulullah dan pelbagai hikmah yang ditemui di sebaliknya, berbagai-bagai kiasan dan tafsiran diberi kepada Ramadan dan ibadah puasa. Sehubungan dengan itu, bila diamat-amati terdapat tiga dimensi penting yang terkandung dalam pensyariatan ibadah puasa; hubungan hamba dengan Penciptanya, hubungan dengan sesama manusia dan tanggungjawab individu Muslim kepada diri sendiri.

Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah Hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu. Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.

Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan di antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut. Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan yang akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.

Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.

Secara timbal balik, puasa juga boleh dijadikan sebagai perisai untuk menghalang individu Muslim sama-sama terlibat dengan perlakuan-perlakuan yang buruk yang dilakukan oleh saudara seagama. Dengan mengatakan dirinya sedang berpuasa, maka keterlanjuran yang berlaku akan dihentikan dengan segera kerana menghormati ibadah tersebut. Setelah hampir seminggu kita meninggalkannya, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita.

Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak Hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.

Menurut Ibn Abbas dan Imam al-Bukhari r.a., dalam episod bersedekah Rasulullah SAW merupakan individu yang amat pemurah kepada semua orang dan sifat kedermawanan Baginda ini bertambah-tambah pada bulan Ramadan. Betapa dermawannya Baginda sehingga diibaratkan seperti angin kencang yang bertiup, tanpa ada sebarang penghalang yang dapat menggalangnya daripada terus berlalu. Justeru itu, tidak ada sebarang sekatan bagi Baginda Rasulullah untuk terus dan terus melakukan sedekah demi menggembirakan hati-hati milik mereka yang memerlukan.

Pada bulan Ramadan kita banyak menyaksikan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim menerima layanan yang istimewa dan hampir setiap hari mereka diraikan. Walaupun demikian, adakah kita mula meninjau di mana mereka ini berada pada hari ini? Adakah sama seperti sebelum ketibaan Ramadan, kembali dalam keadaan yang terpinggir kerana tangan kita telah berhenti untuk menghulur bantuan dan kebaikan?

Apabila tilawah al-Quran sangat dianjurkan untuk dilakukan, selain ia menerbitkan butir-butir pahala dan berperanan sebagai pemangkin kepada doa-doa yang dipanjatkan, ia turut memberi petanda bahawa umat Islam sangat digalakkan untuk mencari dan menggali ilmu kerana al-Quran merupakan sumber dan asas ilmu kepada seluruh kehidupan manusia. Dan sejarah adalah pengalaman yang sarat memberikan manusia ilmu dan pengajaran berguna. Itulah sebabnya di sebalik umat Islam diiberi rangsangan untuk mengejar pelbagai fadilat malam lailatul qadar dengan menghidup dan memeriahkan sepuluh malam terakhir Ramadan, setiap individu Muslim sepatutnya mencari rahsia dan sejarah anugerah lailatul qadar kepada umat Islam.

Kekaguman Baginda Rasulullah SAW terhadap pemuda dari kalangan Bani Israel bernama Syam'un yang sentiasa berjihad menegakkan agama Allah dan jihad itu mampu dilakukannya secara berterusan sehingga seribu bulan, mendorong terbitnya harapan supaya keistimewaan diberikan kepada umat Muhammad SAW.

Serentak dengan itu supaya ibadah puasa dapat dijalani dengan baik, tidak memudaratkan diri dari aspek kesihatan, malah memberi pulangan yang baik kepada tubuh badan dan pada malam hari ibadah-ibadah sunat dapat dilakukan dengan mudah, pemilihan pemakanan dan jumlah pengambilan makanan sebenarnya penting untuk diberi penekanan. Lantas ini menunjukkan bahawa amalan berpuasa hakikatnya mendorong individu Muslim untuk bersikap bijaksana terhdap soal pemakanan. Serta menggambarkan betapa indahnya Islam yang menyediakan satu mekanisme yang mampu memberi manfaat dari aspek jasmani dan spiritual sekali gus. Amatlah malang bagi mereka yang berkesungguhan menjaga pemakanannya ketika Ramadan, tetapi terus mengabaikannya bila Ramadan mula melabuhkan tirainya.

Secara ringkasnya selepas berlalunya Ramadan, persoalan yang wajar ditanyakan oleh setiap individu Muslim kepada dirinya sendiri adalah, sama ada puasa yang baru berlalu telah berjaya melaksanakan peranannya dalam membentuk diri sebagai insan yang memiliki istiqamah dalam melakukan sebarang tindakan baik serta memelihara dirinya daripada sebarang keburukan.

Juga sama ada hubungan di antara hamba dengan Penciptanya dapat dijaga secara berterusan, begitu juga dalam soal hubungan sesama manusia yang tidak membenarkan persengketaan berlaku, malah amat dianjurkan penyatuan dan berkasih sayang melalui pelbagai medium yang terkandung dalam agama Islam, serta sejauh mana pelaksanaan tanggungjawab terhadap diri sendiri dapat dikekal dan diteruskan.