Wednesday, September 22, 2010

Ramadhan : Apa Perlu Buat?

Bagi meraikan Ramadhan yang mulia, ada baiknya saya mengulas ringkas berkenaan Ramadhan. Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .

Bonus & Belanjawan

Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus dari majikan kita.

Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?
Sudah tentu jawabnya kerana ; "dapat duit ".

Mengapa kita seronok mendapat duit ?
Jawabnya ; kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.

Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi ?
Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat.

Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.

Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok?
Jika tidak, maka apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ?
Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul.

Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseornokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat panjang.

Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t.

Tapi bezanya, ramai yang kelihatan lebih seronok kerana di permudahkan untuk meraih rumah kediaman di dunia dan mungkin akan dapat 'save' lebih banyak duit. Ini kerana belanjawan baru-baru ini (untuk tahun 2008) akan mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah, kos 'stamp duty' bagi rumah RM 250,000 ke bawah dikurangkan 50 %, boleh menggunakan wang akaun kedua dari KWSP untuk pembayaran rumah, yuran sekolah dan peperiksaan anak ditiadakan, buku teks percuma dan lain-lain. Semua ini disambut dengan gembira kerana memberi ruang untuk mengumpul duit dan digunakan untuk perkara lain.

Manakala pada  belanjawan 2009 pula pastinya memberikan sedikit kelegaan buat individu berpendapatan rendah dan sederhana. Antara yang dikira menggembirakan adalah seperti :-

bullet buttonRebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

bullet buttonCukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

bullet buttonBayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.

bullet buttonKemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan
bullet buttonKelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.
   
bullet buttonKemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.


bullet button
Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.

SERONOK HAKIKI DAN SEMENTARA

Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.

Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya? Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia.

"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun" 

TAWARAN BONUS LUAR BIASA

Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.

Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya,

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).

Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana masih terdapat kemungkinan dosa dipergandakan.


SYAITAN KENA GARI?

Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; terdapat juga ulama yang mengatakan bahawa bulan ini dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).
Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )

Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).

MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN

Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).
Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum  tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.
كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)
(Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

10)  Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.
Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)
 
Sekian dan Ramadhan Kareem..
 
Zaharuddin Abd Rahman

Wednesday, August 25, 2010

Pemakanan pada bulan puasa

SHANAZ MAWJI

BERPUASA ialah menahan diri daripada mengambil sebarang makanan dan minuman dalam jangka masa tertentu.

Sebenarnya, ramai orang tidak menyedari bahawa berpuasa dapat mengatasi halangan utama, iaitu perasaan takut semasa ketiadaan makanan.

Berpuasa merupakan cara paling berkesan menyucikan darah, organ dan semua tisu badan serta menolong mengelakkan kemerosotan badan secara pra-matang.

Ujian makmal yang dijalankan ke atas tikus menunjukkan berpuasa membantu memanjangkan purata jangka hidup tikus sebanyak 50 peratus.

Ketika berpuasa pada bulan Ramadan, kadar metabolik individu akan menurun dan mekanisme pengawal aturan yang lain mula berfungsi.

Secara amnya, berpuasa digunakan dalam bidang perubatan untuk pengurusan berat badan, menurunkan paras lemak darah dengan merehatkan saluran pencernaan.

Kesan fisiologi berpuasa
  • Menurunkan paras gula dan kolesterol darah
  • Menurunkan tekanan sistolik darah
  • Memastikan lemak daripada makanan dan tubuh digunakan secara berkesan.

Pada hakikatnya, puasa Ramadan merupakan saranan ideal untuk rawatan penyakit diabetes jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin), obesiti dan hipertensi essential yang sederhana dan stabil.

Sebaliknya, pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung koronari, batu karang, buah pinggang dan sebagainya dikecualikan daripada berpuasa. Mereka harus mendapatkan nasihat doktor sekiranya ingin berpuasa.

Apa yang patut dimakan semasa bulan Ramadan?

Semasa bulan Ramadan, diet kita sepatutnya tidak jauh berbeza daripada diet biasa dan seharusnya mudah dan ringkas. Diet tersebut sepatutnya membolehkan kita mengekalkan berat badan normal, tanpa menurunkan atau meningkatkan berat badan.

Bagaimanapun, untuk individu yang mempunyai berat badan yang berlebihan, bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk mencapai berat badan yang sihat.

Panduan pemakanan dari seluruh dunia menitikberatkan kepentingan mengambil pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang.

Ini adalah benar terutama ketika umat Islam berpuasa dari waktu fajar sehingga waktu matahari terbenam pada bulan Ramadan.

Untuk mencapai tahap kesihatan yang sihat, seseorang perlu mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan utama, iaitu roti dan bijirin, susu dan produk tenusu, daging, kacang dan kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Diet seimbang boleh memperbaiki profil kolesterol darah, mengurangkan keadaan asid dalam perut, mengelakkan sembelit dan masalah pencernaan yang lain, serta menyumbang kepada cara hidup yang aktif dan sihat.

Memandangkan jangka masa berpuasa yang agak panjang, kita perlu mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan, termasuklah makanan yang mengandungi fiber berbanding dengan makanan yang cepat dihadamkan.

Makanan yang dihadamkan secara perlahan dapat bertahan selama 8 jam, sementara makanan yang cepat dihadam hanya dapat bertahan selama 3-4 jam sahaja.

Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks).

Makanan yang mengandungi serat adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin. Pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Makanan yang kita ambil haruslah seimbang dan mengandungi makanan daripada semua jenis kumpulan makanan, iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, daging/ayam/ikan, roti/bijirin dan makanan tenusu.

Makanan yang digoreng adalah tidak sihat dan perlu dihadkan pengambilannya. Makanan ini boleh menjejaskan penghadaman, menyebabkan pedih perut atau heart burn dan masalah berat badan.

Sebaik-baiknya elakkan:
  • Makanan goreng dan tinggi lemak
  • Makanan yang mengandungi terlalu banyak gula
  • Pengambilan makanan secara berlebihan.

Makan dan minum ketika berbuka puasa

Semasa berbuka, diet yang biasa haruslah diambil secara tetap.

Mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

Ambillah makanan karbohidrat kompleks (sila rujuk kepada senarai di atas) semasa sahur kerana makanan ini boleh bertahan lebih lama dan mengurangkan rasa kelaparan.

Buah kurma adalah sumber gula, fiber, karbohidrat, kalsium dan magnesium yang baik.

Kacang badam kaya dengan protein dan fiber serta mengandungi lemak tepu yang rendah. Pisang adalah sumber kalsium, magnesium dan karbohidrat yang baik.

Mengenai minuman pula, pastikan anda mengambil air dan jus buah-buahan yang mencukupi antara waktu makan malam dan waktu tidur supaya tubuh anda dapat memelihara keseimbangan cecair tubuh.

Mengatasi masalah biasa ketika berpuasa

Sembelit

Ini mungkin disebabkan oleh pengambilan makanan terproses secara berlebihan, jumlah pengambilan air dan fiber yang tidak mencukupi dalam diet.

Elakkan pengambilan makanan terproses secara berlebihan dan tingkatkan jumlah pengambilan fiber dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi dalam diet.

Buah-buahan seperti pisang, betik, tembikai, prun dan sayur-sayuran berdaun seperti pucuk ubi, ulam, bayam dan kangkung membantu membekalkan fiber yang diperlukan.

Sakit kepala

Biasanya dialami apabila seseorang berhenti mengambil kafein dan tembakau, kurang tidur dan kelaparan. Keadaan ini bertambah teruk pada hujung hari.

Kurangkan pengambilan kafein dan tembakau secara perlahan-lahan, bermula dengan satu atau dua minggu sebelum Ramadan. Pastikan anda cukup tidur untuk mengurangkan sakit kepala.

Paras gula dalam darah yang rendah.

Sesetengah orang yang berpuasa dan bukan pesakit diabetes berasa lemah, pening, letih, lesu, mengalami daya tumpuan yang rendah, menggigil, tidak dapat menjalankan aktiviti fizikal, sakit kepala atau mengalami palpitasi (debaran jantung yang hebat). Ini mungkin merupakan simptom tahap gula yang rendah.

Mengambil terlalu banyak gula seperti karbohidrat ringkas khasnya ketika sahur boleh meningkatkan paras insulin lalu menurunkan paras gula dalam darah. Hadkan pengambilan makanan dan minuman yang bergula ketika sahur dan semasa berbuka puasa untuk membantu mengelakkan penurunan gula dalam darah secara mendadak.

Sebaliknya, ambillah buah-buahan segar dan jus buah-buahan tanpa gula sebagai sumber tenaga yang baik ketika berbuka puasa.
Pesakit diabetes dan mereka yang menghidap penyakit tertentu mesti mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa.

Penyelarasan terhadap ubat-ubatan, diet dan tahap aktiviti mungkin perlu dilakukan di bawah penyeliaan pakar-pakar perubatan sebelum berpuasa.
Mengikut kata-kata Otto Buchinger, seorang pakar perubatan dari Jerman yang fasih dalam `terapi berpuasa', ``Berpuasa merupakan kaedah rawatan biologi yang paling berkesan dan tidak dapat dipertikaikan.

``Ia bukanlah setakat satu operasi pembedahan fizikal semata-semata, tetapi merupakan satu rawatan yang melibatkan pembersihan, pemulihan, pengembalian tujuan hala, pembebasan dan relaksasi yang tulen.

Monday, August 23, 2010

11 Amalan Terbaik Sepanjang Ramadhan

Shahmuzir Nordzahir

Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Ia telah dipetik dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan beberapa kitab muktabar yang lain. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

1.  Keutamaan sahur dan mentakhirkannya selama tidak khuatir akan terbitnya fajar

  • Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)

  • Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)

  • Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2.  Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka

  • Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)

  • Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3.  Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.

  • Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4.  Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

  • Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)

  • Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

5.  Bersiwak atau menggosok gigi.

  • Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)

  • Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)

6.  Bermurah hati dan banyak menderma.

  • Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

7.  Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

  • (Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)

  • Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.

8.  Memberi makan untuk berbuka puasa.

  • Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9.  Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)

  • Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

10.  Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan

  • Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

  • Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)

  • Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.

Sunday, August 22, 2010

Zakat Fitrah

DALIL WAJIB ZAKAT FITRAH
 
Zakat fitrah dalilnya bersandarkan kepada Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada yang bermaksud:
 
a) Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”
 
(Abu Daud)
 
Huraian :
  1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam.
  2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.
  3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram)
  4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah)
  5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.
b) Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadhan atas setiap orang Muslim, biarpun dia merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan iaitu segantang kurma atau gandum.”

(Muslim)

GOLONGAN PENERIMA ZAKAT


Ayat ke 60 Surah At-Taubah di atas menjelaskan 8 golongan yang layak menerima zakat, bermaksud;

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT WAJIB ZAKAT

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. 
  2. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya. 
  3. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:
“…Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya” - Riwayat Muslim
  
KADAR ZAKAT FITRAH

Kadar zakat fitrah bagi setiap negeri dikeluarkan oleh pusat zakat negeri masing-masing yang mana kadar ini ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya.

WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5: 
  • Waktu Wajib
          Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
  • Waktu yang Paling Afdhal
          Sebelum sembahyang Hari Raya
  • Waktu Sunat
          Sepanjang bulan Ramadhan
  • Waktu Makruh
          Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
  • Waktu Haram
          Selepas terbenam matahari satu Syawal
 

Sumber:

Takaful Smart Medic

e-zakat

Thursday, August 19, 2010

Puasa dan Kesihatan

Rina Aznita Ariffin
AJK Kebajikan
Biro BIJAK-ISMA
4th year MBBS, Monash University, Clayton Campus
Sumber: http://www.ismaaustralia.com/puasa-dan-kesihatan
 
Puasa telah diamalkan semenjak dahulu kala. Manusia dari pelbagai agama, budaya dan negara mengamalkan puasa mengikut definisi masing-masing. Penganut agama Hindu berpuasa dan ia dikenali sebagai upawaasa. Golongan Yahudi pula berpuasa pada hari Yom Kippur. Nabi Musa a.s juga diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk berpuasa selama 40 hari ketika beliau bermunajat pada Allah s.w.t. Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Phytagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa (Dr Danial bin Zainal Abidin, 2008 [M.B.Ch.B. Alexandria]).
 
Pada 1994, sebuah kongres antarabangsa yang diadakah di Casablanca menampilkan pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia. Hasil pembentangan daripada 50 buah kertas kerja yang bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadhan’ mengesahkan puasa di bulan Ramadhan tidak mendatangkan kemudharatan malah ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai penyakit. (The Spiritual and Health Benefits of Ramadan Fasting, Dr. Shahid Athar, M.D). Mari kita lihat apa istimewanya puasa sehinggakan ia diamalkan oleh pelbagai manusia sejak sekain lama.
 
Kesihatan spiritual
 
Solat, berzikir, bermunajat dan bersendirian dengan Allah akan mendamaikan hati kita sebagai hambaNya. “ … Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” [13:28] Dengan firman Allah ini, maka tidak ragu-ragu lagi bahawa waktu Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk kita membajai kesihatan spiritual kita. Tambah lagi, pada bulan ini sahaja Allah menawarkan Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
 
Selain itu, dalam keadaan lapar dan dahaga, kita akan lebih merasai penderitaan orang lain yang tidak dapat menikmati kemewahan makan dan minum seperti kita. Ini akan menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur pada Allah atas nikmat yang kita peroleh selama ini.
 
Kesihatan fizikal
 
Puasa dapat membantu proses detoksifikasi dalam badan kita. Detoksifikasi bermaksud membersihkan badan daripada bahan buangan atau toxin. Menurut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, sewaktu berpuasa, organ badan membersih dan berehat.Ia juga dapat mempercepatkan proses perkumbuhan dan pembentukan semula sel-sel badan.
 
Daripada Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them oleh Dr. Cindy Engles (Ph.D), binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan.
 
Selain itu, puasa juga dapat menolong metabolisma badan untuk menjadi lebih stabil. Kadar gula, lemak dan garam dalam badan akan menurun disebabkan pengurangan pengambilan makanan justeru memudahkan badan kita untuk proses detoksifikasi. Penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kadar kolestrol yang tinggi juga dapat dikawal dengan lebih mudah tanpa dos ubat yang banyak. Ini dibuktikan lagi apabila kaedah utama yang akan digunakan oleh doktor-doktor perubatan bagi mengubati penyakit-penyakit tersebut adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan terutamanya makanan-makanan tinggi kalori.
 
Dalam satu kajian terhadap 32 orang lelaki yang berpuasa Ramadhan, didapati peratus kolesterol keseluruhan menurun sebanyak 7.9% (7.9%, p<0.001) dan lemak trigliserida juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001) berbanding paras sebelum mereka berpuasa. Ini menunjukkan puasa Ramadhan dapat membantu pengurangan lemak-lemak yang tidak sihat dari dalam badan kita.
 
Kesihatan mental
 
Apabila badan kita kurang berkerja untuk menghadam makanan, kita akan mendapati badan sentiasa dalam kerehatan terutama pada waktu malam. Apabila badan dalam keadaan rehat, minda kita juga akan tenang. Ini memudahkan lagi kita untuk mendapat tidur yang berkualiti. Mengapa ini penting?
 
Tidur yang berkualiti bukan sahaja terbukti dapat mempercepatkan proses penyembuhan badan malah dapat menyihatkan mental. Oleh kerana proses pemulihan banyak berlaku sewaktu tidur, maka tidur yang nyenyak dan berkualiti ini amat penting untuk menjamin kesihatan kita. Kurang tidur atau tidur yang terganggu menyebabkan badan dan otak kita lesu serta tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Justeru menyebabkan ketidakstabilan emosi dan rohani.
 
Pakar-pakar mendapati tidur adalah lebih nyenyak di bulan Ramadhan. Perubahan ini membantu fokus dan konsentrasi Muslimin di musim Ramadhan dan menjadikan mereka lebih produktif. (Dr. Ebrahim Kazim, Further Essays on Islamic Topics)
 
Tips kesihatan Ramadhan
  • Melebihkan minum air kosong untuk mengelakkan ‘dehydration’
  • Tidak berbuka atau bersahur dengan makanan yang terlalu pedas untuk mengelakkan mudharat kepada perut
  • Bersahur untuk membekalkan tenaga sepanjang hari: “Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada berkat.” (Riwayat Bukhari)
  • Berbuka dengan makanan ringan terlebih dahulu dan tidak berlebihan dengan makan dan minum: Anas bin Malik meriwayatkan, “Rasulullah berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (iaitu kurma basah) sebelum solat, kalau tidak ada kurma basah maka baginda berbuka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
  • Bersegera dalam berbuka puasa: Nabi bersabda, “Manusia berada dalam keadaan baik selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Mengawal nafsu dari segala sudut:
  • “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, maka tidak ada bagi Allah hajat (untuk menerima) amalannya meninggalkan makan dan minum.” (Riwayat Bukhari)
  • … dan pelbagai tips-tips lain yang selari dengan syarak dan sunnah Rasulullah s.a.w
Kesimpulannya, kesihatan spiritual melalui ibadah, kesihatan mental melalui tafakur dan kesihatan fizikal melalui metabolisme badan yang terkawal di bulan Ramadhan akan menjadikan kita lebih sihat secara holistik.
 
Namun, kesemua hikmah puasa ini akan tercapai sekiranya dilaksanakan dengan betul mengikut syarak dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Terlalu banyak hikmah puasa yang boleh digarap, namun yakinilah sesungguhnya tujuan utama puasa ialah supaya kita mencapai ketaqwaan pada Allah s.w.t yang menciptakan hambanya dengan sebaik-baik ciptaan. Wallahu ‘alam.
 
Nukilan Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria), Majalah Kosmik DBP, September 2008

Wednesday, August 18, 2010

Mencari Lailatul Qadar

Datuk Dr. Abdul Monir Bin Yaacob
(Makalah ini menurunkan pendapat beberapa ulaam dipetik daripada beberapa kitab tafsir tentang Lailatul Qadar)

Terdapat perbezaan pendapat tentang status surah al-Qadr samada Makkiyyah atau Madniyyah. Ada pendapat menyatakan ia adalah surah pertama diturunkan di Madinah. Dalam kitab al-Itqan memilih pendapat yang menyatakan ia adalah makkiyyah. Maksud diturunkan adalah untuk menzahirkan al-Quran dari alam ghaib kepada dunia syahadah.

Dalam surah al-Qadr menegaskan bahawa al-Quran telah diturunkan dari Luh Mahfuz atau dari langit yang tertinggi (Jami al-Bayan, J. 15, hlm. 258) ke langit dunia iaitu Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar (Ruh al-Maani, J. 10, hlm. 198). Ini ditegaskan lagi dengan sebuah hadis daripada Ibn Abbas yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan kesemua sekali pada malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan ke langit dunia (Jami al-Bayan, J. 15, hlm. 258).

Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud, pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan; kedua bermaksud penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia. Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad s.a.w kerana itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan baginda didalam gua Hira�. Pada malam itu perikemanusiaan diberi kemuliaan dikeluarkan dari zulumat/kegelapan kepada nur/cahaya petunjuk Allah.

Jika diberi erti penentuan bermaksud dimalam itu dimulai menentukan garis pemisah diantara kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam, syirik dengan tauhid. Dan penjelasan tersebut menunjukkan bahawa malam itu adalah malam yang istimewa berbanding dari segala malam (Hamka, J. 10, hlm. 8068). Malam yang membawa lembaran baru, turun wahyu ke dunia setelah terputus sekian lama.

Terdapat beberapa pendapat tentang peristiwa Lailatul Qadar samada ia berlaku sekali atau datang pada setiap Ramadhan. Menurut Ibn Umar, Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan (Jami al-�Bayan, hlm. 209). Pendapat yang lain dari setengah ulama ada menyatakan Lailatul Qadar berlaku sekali sahaja iaitu ketika al-Quran mulai diturunkan pertama kali. Adapun Lailatul Qadar yang kita peringati dan berusaha memperbanyakkan amal ibadat pada malam-malam di bulan Ramadhan adalah untuk memperteguh ingatan kita kepada peristiwa turunnya al-Quran. Kita hidupkan malam itu dengan mengambil berkat dan memperbanyakkan syukur kepada Allah s.w.t. Berdiri mengerjakan terawih dan qiamullail di bulan Ramadhan adalah bertepatan dengan malam turunnya al-Quran (Hamka, hlm. 8071).

Menurut Syeikh Yusuf Amrullah, bapa Hamka, berpegang dengan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa Lailatul Qadar yang sebenar hanya sekali iaitu malam mula-mula al-Quran diturunkan. Yang kita buat amal ibadat didalam bulan puasa adalah mengingati Lailatul Qadar itu ialah memperingati dan memuliakan malam al-Quran diturunkan. Kita ingati setiap tahun agar kita bertambah teguh memegang segala yang diturunkan Allah didalam al-Quran.

Hari kebesaran dalam Islam banyak yang diperingati dan menjadi amal ibadat seperti berpuasa pada 10 Muharam atau Asyura kerana mengenangkan beberapa kejadian pada Nabi-nabi yang terdahulu pada tarikh tersebut. Begitu juga dalam manasik haji telah dikatikan dengan kejadian zaman lampau seperti Saci antara Bukit Safa dan Marwah, mengenangkan betapa sulitnya Hajar mencari air untuk anaknya, Ismail di lembah yang tidak ada tumbuh-tumbuhan. Kita juga disunatkan melontar Jamrah bagi memperingati perdayaan syaitan kepada nabi Ibrahim kerana akan menyembelih puteranya Ismail atas perintah Allah. Apabila dikaitkan dengan menghidupkan malam Lailatul Qadar dapatlah diambil kesimpulan bahawa kesemua ibadat tersebut mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk membesarkan syiar Allah dan menambah taqwa dalam diri.

Terdapat berbagai cerita mengenai tanda malam Lailatul Qadar iaitu dapat disaksikan kejadian yang ganjil-ganjil seperti air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk rukuk ke bumi dan sebagainya. Menurut Hamka semuanya ini adalah perkara yang tidak dapat dipertanggungjawabkan menurut ilmu agama yang sebenarnya.

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang berlakunya Lailatul Qadar dan ia tetap berlaku atau berulang pada setiap bulan Ramadhan, cuma tidak dapat dipastikan secara tepat malam yang keberapa ia berlaku.

Perbincangan panjang lebar diantara ahli-ahli Hadis, mengenai dengan malam apakah yang tepat Lailatul Qadar itu berlaku. Dalam kitab �Fath al-Basri� menurunkan tidak kurang dari 45 qaul tentang malam terjadinya Lailatul Qadar, masing-masing menurut pengalaman dengan catatan Ulama-ulama yang merawikannya, sejak dari malam 1 Ramadhan sampai 29 atau malam 30 Ramadhan. Semuanya dinukilkan oleh as-Syaukani di dalam `Nailul-Authar�nya.

Oleh sebab itu dianjurkanlah supaya setiap malam bulan Ramdhan diisikan penuh dengan ibadat. Bagaimanapun terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu ialah pada malam sepuluh yang akhir dari Ramadhan ertinya sejak malam 21, kerana sejak malam 21 itu nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sampai beliau bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.

Abdullah bin Mas`ud dan asy-Sya`bi dan al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahawa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah kerana ada hadis yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.

Satu riwayat lagi menyatakan jatuhnya ialah pada 17 Ramadhan. Orang yang berpegang pada 17 Ramadhan ini mengambil istimbath daripada ayat 41 dari surah an-Anfal kerana di sana tersebut bermaksud;

� �� dan apa yang Kami turunkan kepada Hamba Kami pada Pemisahan hari bertemu dua golongan�

`Hari bertemu dua golongan� ialah dalam peperangan Badar, pada 17 Ramadhan sedang `hari pemisahan� ialah hari turunnya al-Quran yang pertama yang disebut juga malam yang diberi berkat sebagaimana tersebut didalam surah 44 ad-Dukhan. Maka oleh kerana berhadapan dua golongan di Perang Badar itu, golongan Islam dan golongan Musyrikin terjadi pada 17 Ramadhan, mereka menguatkan bahawa Lailatul Qadar mulai turunnya al-Quran di gua Hira ialah 17 Ramadhan pula meskipun jarak waktunya adalah 15 tahun.

Banyak hadis-hadis yang menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan (Ruh al-Maani, hlm. 191), dan ada pendapat hadis yang menetapkan pada malam 27.

Ada diceritakan terdapat dikalangan sahabat Rasulullah merasa hairan dengan cerita seorang lelaki dari bani Israel beribadat sepanjang malam kemudian berjihad menentang musuh diwaktu siang dan melakukannya selama seribu bulan. Dalam cerita lain menyatakan seramai empat orang dari bani Israel beribadat kepada Tuhan selama delapan puluh tahun dan mereka tidak melakukan maksiat atau keingkaran. Datang Jibrail kepada nabi bertanyakan samada umatnya hairan dengan ibadat mereka itu. Allah telah menurunkan yang lebih baik dari itu, lalu dibaca surah al-Qadr. Dinyatakan juga bahawa pemerintah nabi Sulaiman dan Zulqarnain selama lima ratus bulan. Maka Tuhan jadikan amalan pada malam Lailatul Qadar (bagi mereka yang mendapatnya) lebih dari tempoh kedua pemerintahan tersebut dan lebih baik dari seribu malam amalan lelaki bani Israel itu.

Dalam tafsir Ruh al-Maani ada dinyatakan setengah ulama al-Shafie berpendapat ada beberapa malam yang istimewa iaitu malam yang paling afdal ialah malam kelahiran-kelahiran nabi Muhammas s.a.w. Kemudian diikuti dengan malam Lailatul Qadar kemudian malam Irsa� dan Micraj, malam Arafah, malam Jumaat, malam Nisfu Syaaban dan kemudiannya malam raya (hlm. 194).

Mengikut Anas daripada nabi menyatakan bahawa Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) Lailatul Qadar dan tidak diberikan kepada umat sebelumnya.

Keistimewaan lain yang berlaku pada malam Lailatul Qadar dinyatakan dalam ayat 4 yang menjelaskan bahawa malaikat dan roh turun pada malam itu dengan keizinan Tuhan. Yang dimaksudkan dengan `roh� ialah malaikat Jibrail dan ini pendapat jumhur ulama. Ia disebut secara khusus kerana kemuliannya. Ada pendapat lain menyatakan nabi Isa a.s turun untuk melihat umat dan menziarahi nabi Muhammas s.a.w. Ada juga pendapat menyatakan roh-roh orang yang mukmin turun untuk menziarahi keluarga-keluarga mereka. Ada pendapat satu lagi mentafsirkan kepada `Rahmat� dari Allah.

Malaikat turun dari martabat mereka yang tinggi yang sebok dengan urusan Allah s.w.t untuk mengucap `salam� kepada orang mukmin. Oleh kerana mereka ramai, antara mereka turun secara kumpulan, ada yang turun dan ada yang naik semula. Oleh kerana kejadian mereka adalah dari nur atau cahaya maka tidaklah timbul masalah kesesakan. Para malaikat yang ramai itu pergi mengunjungi tempat kdiaman orang mukmin, kecuali rumah yang terdapat didalamnya anjing, khinzir, arak dan patung. Mereka megucup tasbih dan memohon keampunan bagi umat Muhammad s.a.w sehinggalah sampai waktu fajar barulah mereka naik semula ke langit. Melihat ini bertasbih memuji Allah s.w.t justeru syukur mereka kepada Allah yang telah melimpahkan keampunan kepada umat Muhammad s.a.w.

Pada malam tersebut Allah s.w.t telah melipatkan rahmatnya kepada seluruh orang mukmin yang masih hidup dan juga kepada yang telah mati. Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya.

Jika kita mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, barangsiapa yang menunaikan solat maghrib dan isya� berjamaah sepanjang bulan Ramadhan sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar. Bermaksud bukanlah suatu yang amat sukar untuk mendapatkan sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan mana-mana malam di bulan Ramadhan kecuali dengan melakukan ibadat dan paling minimum sembahyang berjamaah pada waktu maghrib dan isya�.

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai yang tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan.

Sunday, August 15, 2010

Ramadhan dan Penyusuan Ibu

Norkumala Binti Awang
Pegawai Penyelidik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber: http://www.ikim.gov.my

Tatkala Ramadhan menjelang tiba, sudah pasti setiap ibu yang menyusukan anak melahirkan kebimbangan di hati. Bukan tidak mampu untuk menunaikan ibadah yang tercatit dalam Rukun Islam tetapi kegusaran mengenangkan bagaimana untuk menyusukan bayi sedangkan diri terikat dengan ibadah puasa. Yang dikhuatirkan ialah pengeluaran susu ibu semakin berkurang dan ibu tidak dapat menyesuaikan diri dalam keadaan berpuasa. Itulah stigma yang seringkali kita dengar bahkan seringkali disogokkan oleh kebanyakan orang.

Dalam Islam, setiap ibu yang menyusukan ataupun hamil dibolehkan berbuka puasa sebagai satu bentuk keringanan yang ditawarkan. Tetapi perlu ada sebab mengapa diberikan pilihan untuk berbuka kerana ia mempengaruhi cara penggantian hari berpuasa yang ditinggalkan. Sebab itulah, setiap wanita yang menyusukan bayi ataupun hamil perlu memahami perkara- perkara yang bersangkutan dengan pengurusan berpuasa iaitu bila keharusan untuk berbuka dan kesannya dari segi qadha' dan fidyah.

Namun, dengan kajian- kajian yang dilakukan oleh ramai penyelidik, berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan terhadap ibu- ibu yang menyusukan anak. Dengan itu, kaum ibu tidak perlu risau akan kekurangan penghasilan susu dan kesannya terhadap bayi selagi mana mereka istiqamah dalam mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat semasa di bulan Ramadhan. Kebimbangan dan kekhuatiran tidak seharusnya timbul apatah lagi berpuasa sebenarnya lebih banyak memberi kemanfaatan kepada semua berbanding kemudaratan. Kemudaratan hanya berlaku dalam kes- kes terpencil yang diharuskan dalam agama untuk berbuka puasa.

Pelbagai persoalan yang timbul di fikiran ibu- ibu yang menyusukan bayi berkenaan dengan puasa. Namun, ia mungkin akan terjawab jika kita sendiri faham akan erti pengurusan puasa dan juga tahu akan natijahnya dari sudut perspektif sains. Kadangkala bukan ibu yang menyusukan bayi bimbang akan kesihatan tetapi masyarakat sekeliling ataupun keluarga terdekat yang mempengaruhi minda dan pemikiran ibu- ibu bahawa berpuasa boleh membahayakan bayi yang disusui. Lantas, sebab itulah perlunya pemahaman yang mendalam tentang puasa dan peri pentingnya penyusuan susu ibu agar pilihan untuk berbuka puasa itu dapat diminimumkan. Ia merupakan satu langkah yang proaktif supaya tidak timbul masalah yang mendatang dan kesihatan ibu dan anak juga akan diberkati Allah natijah daripada manfaat puasa itu sendiri.

Banyak kajian menyatakan bahawa berpuasa tidak akan mengurangkan pengeluaran susu ibu tetapi berlakunya dehidrasi yang teruk kepada si ibu akan menyebabkan bekalan susu ibu akan berkurangan. Jika kita lihat, berpuasa hanya melibatkan penahanan diri daripada makan dan minum hanya memakan tempoh yang sekejap. Jadi tidak timbul masalah dehidrasi jika kita mengamalkan cara pemakanan yang telah dianjurkan dan minum air dalam kuantiti yang cukup. Ada sesetengah individu yang kekurangan air di dalam badan adalah disebabkan kurangnya pengambilan air yang mencukupi sewaktu berbuka puasa dan kesannya adalah kepada badan untuk keesokan hari. Badan yang kekurangan air akan menyebabkan keletihan yang berpanjangan, sebab itulah disarankan agar mendapat bekalan air yang mencukupi untuk badan segar dan bertenaga terutamanya bagi ibu- ibu yang menyusukan bayi.

Ada juga sesetengah pendapat mengatakan bahawa, jika ibu- ibu berpuasa, akan meningkatkan penghasilan toksin di dalam badan dan akhirnya juga terdapat dalam susu ibu yang akan memberi kesan terhadap bayi. Namun, perlu kita ingat, bayi juga memiliki sistem imun yang dapat menahan diri mereka daripada serangan penyakit. Tanggapan sebegini perlu kita ambil iktibar dan diterjermahkan dalam ertikata puasa yang kita jalani. Allah mensyariatkan berpuasa kepada hamba- hambaNya kerana pelbagai faedah dan manfaat yang diperolehi daripadanya. Terpulang kepada diri kita untuk memanifestasikan puasa dalam kehidupan yang sebenar dengan situasi seperti ibu- ibu yang menyusukan bayi. Kajian yang dijalankan di Afrika Barat mendapati bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu yang menyusukan bayi tetapi kemungkinan komposisi susu ibu tersebut akan berubah. Hal ini adalah sejajar jika dikaitkan dengan pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah bergantung kepada pemakanan ibu. Seandainya pemakanan sihat dan sempurna yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan, kemungkinan komposisi tersebut akan berubah. Namun, ia tidak mendatangkan masalah terhadap kesihatan bayi. Ini kerana, ia boleh dilihat sebagai suatu kitaran iaitu, ibu- ibu boleh menggantikan makanan atau zat yang tidak cukup tersebut selepas waktu berbuka. Selagi mana pemakanan sihat diutamakan, tiada masalah yang diundang buat ibu dan bayi yang menyusu.

Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu. Sungguh hebat penciptaan Allah. Penyusuan susu ibu digalakkan di dalam Islam dan dalam masa yang sama disyariatkan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Suruhan ini terkandung implikasi yang mendalam terhadap kesihatan setiap manusia khususnya yang bergelar ibu. Malah ada pula rukhsah yang dibolehkan berbuka puasa, istimewa untuk golongan tersebut jika berlaku kekhuatiran dan keadaan yang tidak diduga. Tetapi, bagi kita yang ingin merebut peluang berpuasa di bulan yang mulia seharusnya tidak menjadikan penyusuan susu ibu sebagai suatu halangan untuk mendapat dua ganjaran yang hebat tersebut dalam masa yang sama. Ditambah lagi, kajian- kajian sains terkini yang membuktikan tiada permasalahan yang menghalang wanita yang menyusukan bayi untuk berpuasa dari segi kesihatan ibu dan bayi itu sendiri. Malah, kita seharusnya percaya, sudah pasti ada hikmah dan keistimewaan yang tersirat di samping yang tersurat dengan apa yang Allah telah tentukan buat hambaNya yang bergelar wanita dan ibu.

Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi lebih bermakna jika sebagai ibu, kita tidak mengambil mudah akan hal melaksanakan puasa dan meneruskan penyusuan bayi. Seboleh yang mungkin untuk meminimumkan pilihan berbuka puasa jika tiada apa- apa masalah ketika menyusukan bayi. Secara tuntasnya, sebagai langkah proaktif bagi ibu- ibu, seharusnya mengambil peluang untuk mengkaji lebih mendalam hakikat disyariatkan penyusuan susu ibu dan tidak menjadikan Ramadhan sebagai satu halangan untuk memberhentikan penyusuan ibu mahupun mengambil langkah berbuka puasa sewenang- wenangnya untuk menyusukan bayi tanpa ada sebab yang munasabah. Yang paling penting ialah pendidikan pemakanan yang sihat harus disemai dalam setiap diri ibu yang menyusukan bayi agar dapat mengharungi bulan puasa dengan sihat dan cergas tanpa sebarang masalah.

Menilai Kualiti Puasa Lalu

Siti Shamsiah Binti Md Supi
Pegawai Penyelidik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber: http://www.ikim.gov.my

Aidil Fitri seharusnya memberikan seribu satu kegembiraan kepada kita dan seluruh umat Islam. Ibarat meraikan kemenangan yang dianugerahkan kepada setiap Muslim selepas melalui satu kem ibadah dan disiplin diri.

Melalui Firman Allah SWT, Sunnah Rasulullah dan pelbagai hikmah yang ditemui di sebaliknya, berbagai-bagai kiasan dan tafsiran diberi kepada Ramadan dan ibadah puasa. Sehubungan dengan itu, bila diamat-amati terdapat tiga dimensi penting yang terkandung dalam pensyariatan ibadah puasa; hubungan hamba dengan Penciptanya, hubungan dengan sesama manusia dan tanggungjawab individu Muslim kepada diri sendiri.

Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah Hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu. Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.

Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan di antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut. Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan yang akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.

Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.

Secara timbal balik, puasa juga boleh dijadikan sebagai perisai untuk menghalang individu Muslim sama-sama terlibat dengan perlakuan-perlakuan yang buruk yang dilakukan oleh saudara seagama. Dengan mengatakan dirinya sedang berpuasa, maka keterlanjuran yang berlaku akan dihentikan dengan segera kerana menghormati ibadah tersebut. Setelah hampir seminggu kita meninggalkannya, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita.

Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak Hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.

Menurut Ibn Abbas dan Imam al-Bukhari r.a., dalam episod bersedekah Rasulullah SAW merupakan individu yang amat pemurah kepada semua orang dan sifat kedermawanan Baginda ini bertambah-tambah pada bulan Ramadan. Betapa dermawannya Baginda sehingga diibaratkan seperti angin kencang yang bertiup, tanpa ada sebarang penghalang yang dapat menggalangnya daripada terus berlalu. Justeru itu, tidak ada sebarang sekatan bagi Baginda Rasulullah untuk terus dan terus melakukan sedekah demi menggembirakan hati-hati milik mereka yang memerlukan.

Pada bulan Ramadan kita banyak menyaksikan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim menerima layanan yang istimewa dan hampir setiap hari mereka diraikan. Walaupun demikian, adakah kita mula meninjau di mana mereka ini berada pada hari ini? Adakah sama seperti sebelum ketibaan Ramadan, kembali dalam keadaan yang terpinggir kerana tangan kita telah berhenti untuk menghulur bantuan dan kebaikan?

Apabila tilawah al-Quran sangat dianjurkan untuk dilakukan, selain ia menerbitkan butir-butir pahala dan berperanan sebagai pemangkin kepada doa-doa yang dipanjatkan, ia turut memberi petanda bahawa umat Islam sangat digalakkan untuk mencari dan menggali ilmu kerana al-Quran merupakan sumber dan asas ilmu kepada seluruh kehidupan manusia. Dan sejarah adalah pengalaman yang sarat memberikan manusia ilmu dan pengajaran berguna. Itulah sebabnya di sebalik umat Islam diiberi rangsangan untuk mengejar pelbagai fadilat malam lailatul qadar dengan menghidup dan memeriahkan sepuluh malam terakhir Ramadan, setiap individu Muslim sepatutnya mencari rahsia dan sejarah anugerah lailatul qadar kepada umat Islam.

Kekaguman Baginda Rasulullah SAW terhadap pemuda dari kalangan Bani Israel bernama Syam'un yang sentiasa berjihad menegakkan agama Allah dan jihad itu mampu dilakukannya secara berterusan sehingga seribu bulan, mendorong terbitnya harapan supaya keistimewaan diberikan kepada umat Muhammad SAW.

Serentak dengan itu supaya ibadah puasa dapat dijalani dengan baik, tidak memudaratkan diri dari aspek kesihatan, malah memberi pulangan yang baik kepada tubuh badan dan pada malam hari ibadah-ibadah sunat dapat dilakukan dengan mudah, pemilihan pemakanan dan jumlah pengambilan makanan sebenarnya penting untuk diberi penekanan. Lantas ini menunjukkan bahawa amalan berpuasa hakikatnya mendorong individu Muslim untuk bersikap bijaksana terhdap soal pemakanan. Serta menggambarkan betapa indahnya Islam yang menyediakan satu mekanisme yang mampu memberi manfaat dari aspek jasmani dan spiritual sekali gus. Amatlah malang bagi mereka yang berkesungguhan menjaga pemakanannya ketika Ramadan, tetapi terus mengabaikannya bila Ramadan mula melabuhkan tirainya.

Secara ringkasnya selepas berlalunya Ramadan, persoalan yang wajar ditanyakan oleh setiap individu Muslim kepada dirinya sendiri adalah, sama ada puasa yang baru berlalu telah berjaya melaksanakan peranannya dalam membentuk diri sebagai insan yang memiliki istiqamah dalam melakukan sebarang tindakan baik serta memelihara dirinya daripada sebarang keburukan.

Juga sama ada hubungan di antara hamba dengan Penciptanya dapat dijaga secara berterusan, begitu juga dalam soal hubungan sesama manusia yang tidak membenarkan persengketaan berlaku, malah amat dianjurkan penyatuan dan berkasih sayang melalui pelbagai medium yang terkandung dalam agama Islam, serta sejauh mana pelaksanaan tanggungjawab terhadap diri sendiri dapat dikekal dan diteruskan.

Puasa Dalam Sejarah Umat Lampau dan Islam

Dr. Haji Mat Saad bin Abdul Rahman
Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber: http://www.ikim.gov.my/

Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa (al-Baqarah, 2:183). Terdapat dua perkara yang disentuh di dalam ayat tersebut, pertamanya, puasa adalah ibadat lama. Ia diwajibkan ke atas umat-umat lampau. Justeru, jika merujuk kepada sejarah, kita akan dapati hampir setiap bangsa di dunia ini mengamalkan puasa di dalam kehidupan mereka, walaupun mungkin ianya berbeza dari segi tujuan dan niat masing-masing.

Dalam mentafsirkan maksud: orang-orang sebelum kamu, kita dapati ulamak telah berbeza pendapat, antaranya:

Ada yang mengatakan bahawa ia bermaksud: orang-orang Nasrani sahaja.

Ada pendapat mengatakan, mereka adalah Ahl al-Kitab (iaitu orang Nasrani dan Yahudi).

Ada pendapat lain mengatakan bahawa ia bermaksud seluruh umat terdahulu yang menjadikan puasa sebagai amalan dalam kehidupan mereka sama ada kerana tuntutan keagamaan, kemasyarakatan atau kerana menolak sesuatu bencana dan sebagainya.

Berdasarkan pembacaan saya, didapati bahawa bangsa-bangsa lama seperti India, China, Jepun, Parsi, Mesir Purba, Greek, Rom, Yahudi, Nasrani dan Arab Jahiliyyah, masing-masing telah mengamalkan puasa pada hari atau bulan tertentu dalam setahun.

Secara ringkasnya dapat kita lihat kepada beberapa fakta berikut:

India:

Dalam sejarah bangsa ini memang terdapat amalan puasa yang mempunyai pelbagai matlamat, antaranya sebagai persembahan kepada bulan yang mereka puja. Penganut kepercayaan ini, selain mempersembahkan makanan, minuman dan susu, mereka juga berpuasa selama setengah bulan dan berbuka ketika bulan mengambang pada waktu malam. Mereka akan berhenti amalan ini apabila muncul anak bulan baru (Dr. `Ali Al-Khatib, 62).

Puasa juga di kalangan bangsa India bertujuan melepaskan diri dari kesiksaan akidah tanasukh dan bercamtum dengan tuhan mereka yang disebut sebagai Brahma dan akhirnya mencapai kebahagiaan sejati. Seseorang tidak akan sampai kepada Brahma kecuali apabila dia sudah sampai kepada hakikat dan melepaskan diri dari segala macam ikatan kebendaan. Dengan itu kehidupan secara zahid amat terkenal di kalangan bangsa India. Dalam konteks ini mereka akan berpuasa selama 14 hari tanpa memakan sebarang makanan, kecuali dengan diselang-seli minuman air sahaja selama masa tersebut (Dr. A. Al-Khatib, h. 65).

Dalam pegangan kumpulan Sinata, ahli agama mereka dikehendaki berpuasa setiap hari bermula sejak jatuh matahari sehingga ke waktu naik fajar merah, tanpa makan dan minum sepanjang-panjang masa itu (Dr. A. Al-Khatib, 66)

Selain dari ahli agama kumpulan Sanita, ahli agama secara umumnya dikehendaki berpuasa pada awal musim gugur dan sejuk, dan permulaan musim bunga dan panas, dan pada waktu berlaku gerhana matahari.

Puasa yang mereka amalkan ini kebiasaannya akan berpanjangan jika tujuannya untuk melepaskan diri dari kekuasaan tanasukh atau menghapus akidah ini dari menguasai roh mereka. Berdasarkan kepada akidah tanasukh ini, roh seseorang itu tidak akan mati selama-lamanya, tetapi ia akan berpindah dari satu jasad ke jasad yang lain atau akan berpindah ke jasad binatang, biasanya ia akan berpindah dari yang baik kepada yang lebih buruk. Sepanjang-panjang perpindahan ini mereka akan tersiksa, dengan itu mereka sanggup melepaskan diri mereka dari ikatan keduniaan dan berpuasa sehingga mereka bercamtum dengan tuhan mereka Brahma ataupun menamatkan hidup mereka supaya mereka terlepas dari kekuasaan tanasukh. Kepercayaan ini menyebabkan ramai rakyat India purba yang berpuasa atau mengkuburkan diri di bawah tanah semasa mereka berpuasa (op. cit, 67).

Kepercayaan Budha yang lahir di India tidak terlepas dari amalan ini. Kita lihat Budha sendiri mengamalkan cara hidup berpuasa selama 6 tahun. Dalam pegangan salah satu mazhab Budha, seorang ahli agamanya dikehendaki berpuasa sepanjang masa selama hidupnya, tanpa mengambil apa-apa makanan kecuali sebiji beras sahaja pada waktu duha setiap hari. Dalam peraturan keagamaannya, para pengikut Budha dihendaki berpuasa 4 hari dalam masa sebulan, iaitu pada hari pertama awal bulan, hari kesembilan, kelima belas dan hari kedua puluh dua (op.cit. 72-74)

Tujuan amalan ini ialah untuk sampai kepada hakikat atau mencapai kebahagiaan sejati atau navarna.

China dan Jepun:

Agama Budha kemudiannya berkembang di China dan Jepun. Di negara China ia menjadi agama rasmi negara pada masa pemerintahan Maharaja Fu Ti (58 - 71M.). Di negara Jepun, agama Budha mula bertapak pada pertengahan kurun ke enam Masihi. Dan akhirnya ia juga menjadi agama negara bagi negara itu. Di sini agama ini telah berpecah kepada beberapa aliran yang drastik. Apa yang pentingnya bagi kita ialah dengan berkembangnya agama Budha di kedua-dua negara itu, maka amalan puasa turut diamalkan oleh rakyat kedua-duanya (op.cit, h. 79-81).

Parsi:

Dari bukti bahasa, budaya dan acara keagamaan, dapat dipastikan bahawa orang-orang Parsi sebenarnya adalah berketurunan campuran India-Eropah. Dikatakan sejak abad keempat belas SM., Parsi merupakan sebuah negara yang menganut agama Hindu lama. Dengan itu terdapat di kalangan mereka nama-nama pinjaman seperti Andra, Matra, Faruna dan Vida yang kesemuanya merupakan nama-nama tuhan dalam kepercayaan orang-ornag India. Dan dengan itu sekaligus terdapat di kalangan mereka acara-acara keagamaan orang-orang India purba, seperti pengorbanan, puasa dan lain-lain (op.cit, h. 82).

Kemudian pada abad kelima SM, Parsi mula menerima pengaruh Yahudi. Ekoran kepada pengaruh ini terdapat sebahagian penduduk negara ini yang mengamalkan beberapa acara keagamaan orang-orang Yahudi seperti sembahyang dan puasa.

Hasil percampuran pelbagai kepercayaan di kalangan penduduk Parsi, kita dapati mereka mempunyai program puasa seperti berikut:

1. Berpuasa selama 7 hari pada tiap bulan.

2. Berpuasa selama 2 hari berturut-turut tanpa berbuka apabila bulan purnama.

3. Berpuasa selama 2 hari berturut-turut tanpa berbuka apabila terbit anak bulan.

4. Berpuasa selama 2 hari apabila bulan perpindah kepada garisan jaddi.

5. Berpuasa pula selama 30 hari dan berbuka pada ketika matahari jatuh apabila ia berpindah pada garisan dalwu.

6. Berpuasa pada hari Ahad dan Isnin kerana memberi penghormatan kepada matahari dan bulan (op.cit, h. 82-85).

Mesir Purba:

Puasa di kalangan orang-orang Mesir purba dilakukan sebagai memberi khidmat kepada rumah ibadat dan protokolnya. Seseorang pembantu rumah ibadat sebelum memulakan khidmatnya dikehendaki berpuasa selama 2 hari tanpa memakan apa-apa makanan kecuali air sahaja. Kadang-kadang puasa itu berlanjutan sehingga 42 hari.

Orang-orang awam akan berpuasa pada beberapa waktu yang terdekat kerana berlaku mala petaka seperti banjir besar, mereka akan berpuasa selama 4 hari dan mereka juga berpuasa pada hari-hari berlaku peristiwa sedih yang lain, seperti hari kematian lembu suci mereka dan lain-lain. Kesemuanya diatur oleh ahli-ahli agama mereka (op.cit, h. 104-105).

Greek dan Rom:

Penduduk kedua-dua negara ini tidak banyak berbeza dari segi cara berpuasa dan matlamatnya.

Di Greek, rakyatnya berpuasa dalam pelbagai bentuk ketika berlaku mala petaka dan bala bencana agar segala macam kesiksaan itu akan tamat segera. Ada juga mereka berpuasa kerana mensyukuri tuhan mereka kerana terlepas dari bala atau kerana berlaku perubahan kepada undang-undang negara.

Rakyat negara ini juga akan berpuasa selama 10 hari sebelum melakukan peperangan kerana bertujuan memohon kemenangan.

Di Rom, rakyat negara ini sangat percaya dengan kekuatan puasa sehingga mereka mempercayai bahawa seorang yang berpuasa mampu membunuh ular tedung dengan ludahnya sahaja. Seorang tukang tilik perempuan biasanya berpuasa selama 3 hari disamping beberapa amalan pelengkap yang lain sebelum melakukan apa-apa tilikan. Rakyat terpaksa memberi upah kepadanya jika mereka memohon apa-apa khidmat tilikannya (op.cit, h. 111-113).

Yahudi:

Bangsa Yahudi adalah pengikut syari`at Musa. Sebelum menerima kitab Taurat, Musa AS. berpuasa selama 40 hari di Saina'. Tetapi orang-orang Yahudi menganggapnya sebagai puasa khusus Nabi Musa. Ulamak Tafsir mengatakan bahawa Musa berpuasa 40 hari ini tanpa diselangi sama sekali dengan berbuka.

Bagi orang-orang Yahudi, mereka berpuasa sehari sahaja, sebagai puasa wajib, iaitu pada hari ghufran (pengampunan). Mereka mendakwa hanya itu sahaja puasa wajib yang dikenakan ke atas mereka. Puasa-puasa lain adalah puasa sunat yang dilakukan beberapa kali yang tidak tersusun.

Puasa sehari ini mereka lakukan pada satu perempat jam sebelum jatuh matahari hari ke 9, bulan Tashri, iaitu awal tahun Ibri (tahun Yahudi) dan berterusan sehingga selepas satu perempat jam jatuhnya matahari pada hari ke sepuluh. Iaitu kira-kira selama 25 jam berturut. Sepanjang-panjang masa berpuasa itu mereka dilarang memakan, meminum dan melakukan hubungan perkelaminan. Puasa ini menjadi amalan mereka sehingga ke hari ini. Hari kesembilan ini mereka namakan juga sebagai hari kabur, iaitu hari `asyura' mereka.

Tentang puasa-puasa sunat mereka, kita dapati ada beberapa kali mereka berpuasa di sepanjang tahun kerana beberapa perayaan atau peristiwa yang telah berlaku, seperti perayaan kerana mengenangkan mereka terlepas dari gerakan penghapusan atnik di negara Parsi yang dilakukan oleh seorang menteri di negara itu bernama Haman. Untuk perayaan ini, mereka berpuasa selama 3 hari. Perayaan ini dinamakan sebagai Hari Raya Forim. Begitu juga mereka berpuasa kerana peristiwa sebuah rumah ibadat mereka di negara Mesir yang dibakar oleh ahli agama negara itu di bawah pengaruh Parsi. Terdapat 19 hari-hari perayaan mereka sepanjang tahun yang digandingkan dengan amalan berpuasa. Sebahagiannya, mereka berpuasa selama sehari dan ada juga mereka berpuasa selama 7 hari. Perayaan yang paling penting bagi mereka ialah perayaan hari mereka dilepaskan dari buruan tentera Fir`aun dibawah pimpinan Nabi Musa menyeberangi laut Merah yang mereka namakan sebagai hari Fash (op.cit. h. 118-122).

Nasrani:

Orang-orang Nasrani sama seperti orang-orang Yahudi merupakan penganut agama Ahl Al-Kitab, mereka juga turut berpuasa sebagai salah satu amalan agama mereka.

Orang-orang Nasrani terbahagi kepada tiga mazhab atau aliran, iaitu Katholik, Othordok dan Protestin. Ketiga-tiga mazhab ini mempunyai cara amalan puasa yang sebahagiannya berbeza di antara satu dengan yang lainnya.

Bagi pengikut mazhab Katholik, mereka mula berpuasa pada pertengahan malam sehingga ke waktu pertengahan siang esoknya. Pada masa berpuasa, mereka dilarang mengambil makanan dan minuman sahaja. Seseorang lelaki diwajibkan berpuasa sejak berumur 15 tahun sehingga ke umurnya 60 tahun dan seorang perempuan pula diwajibkan memulakan puasanya pada umur yang sama dengan lelaki, tetapi ia berakhir pada umur 55 tahun. Menurut mazhab ini, pengikutnya dikehendaki berpuasa hanya pada Hari Puasa Besar sahaja. Gereja mazhab ini membatalkan kesemua puasa-puasa yang lainnya. Hal ini dikatakan kerana tiada nas di dalam Injil.

Mereka juga dilarang memakan daging, susu dan telur pada hari Rabu dan Jumaat pada setiap minggu, begitu juga pada hari-hari Puasa Besar. Larangan ini melibatkan kesemua penganut mazhab ini sejak berumur 7 tahun sehingga ke akhir hayatnya (op. cit., h. 151-152).

Pengikut mazhab Othordok pula, mereka mempunyai program puasa yang tersendiri. Pada mereka, puasa ialah menahan diri dari memakan makanan dalam masa yang tertentu. Masa ini hanya ditentukan oleh padri mazhab mereka yang mempunyai hak berbuat demikian.

Dalam mazhab ini, Puasa Besar dianggap sebagai puasa yang paling penting, masanya selama 50 hari dan berakhir pada kebiasaannya pada hari Raya Kiamat. Mereka juga berpuasa selama 40 hari yang dinamakan Puasa Kelahiran, bermula dari 25hb. Nov. sehingga 6 Januari, iaitu sebelum berlangsung Raya Kelahiran.

Pihak gereja mazhab ini juga turut berpuasa pada hari Rabu dan Jumaat dan sehari puasa yang lain dinamakan dengan Puasa Rasul-rasul.

Selain dari itu, pengikut mazhab ini juga berpuasa selama 15 hari untuk Mariam yang bermula pada awal Masri (bulan kiraan orang-orang Nasrani).

Mereka juga berpuasa tiga hari seperti puasa Nabi Yunus AS., puasa Paramont di antara sehari sehingga ke tiga hari (op.cit., h. 156-158).

Dalam mazhab Protestin pula, puasa menjadi amalan galakan sahaja kerana tiada nas Injil yang mewajibkannya. Dengan erti tiap pengikutnya akan berpuasa mengikut selera masing-masing sahaja. Mazhab ini juga tidak menentukan masa untuk berpuasa dan ia juga tidak menentukan umur seseorang untuk berpuasa, malah segala-galanya diserahkan kepada pilihan atau kemahuan pengikutnya, bila mereka ingin berpuasa dan bila pula mereka ingin berbuka.

Sebahagian yang lain pula menggantikan amalan puasa dengan sesuatu pekerjaan seperti memberhentikan memakan makanan yang mereka suka disamping menyimpan harganya untuk diberikan kepada fakir miskin.

Sebagai kesimpulannya:

1. Kesemua mazhab orang-orang Nasrani menganggap hubungan sex tidak ada kaitan dengan amalan puasa dan tidak membatalkannya.

2. Tidak ada persepakatan pendapat di antara mereka tentang menentukan puasa fardu/wajib.

3. Tidak ada persefahaman di antara mereka tentang masa permulaan puasa dan juga masa akhirnya. Tiap orang boleh menamatkan puasanya pada bila-bila masa yang dikehendakinya.

4. Puasa hari Sabtu diakui oleh Katholik, tetapi tidak disetujui oleh Othordok kecuali Sabtu yang jatuh sebelum hari Raya Kiamat (op. cit. h. 161-163).

Dengan itu jelas kepada kita bahawa puasa orang-orang Yahudi adalah lebih tersusun dari puasa-puasa yang diamalkan oleh orang-orang Nasrani.

Semenanjung Tanah Arab:

Sebelum kedatangan Islam, negara itu sudahpun mengenali agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS., agama Ahl Al-Kitab (Yahudi dan Nasrani), Brahma, Sabi'ah, agama berhala, Majusi, penyembahahan cakrawala dan jembalang. Dengan itu amalan puasa merupakan sesuatu yang tidak asing di kalangan mereka. Sekurang-kurangnya mereka akan terpengaruh dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup bersama-sama mereka di Semenanjung mereka.

Disebutkan bahawa orang-orang Arab Quraish, khasnya Quraish Makkah, berpuasa pada hari `Asyura' sebagai penebus dosa mereka pada masa Jahiliah. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa puasa `Ashura' itu adalah mengambil sempena hari dipasang kelambu pada Ka`bah. Mereka berpuasa pada 10hb. Muharram. Puasa ini sama seperti puasa orang-orang Yahudi yang juga dinamakan sebagai puasa hari `Asyura' atau puasa hari Pengampunan (op. cit., h. 172).

Selain dari itu, orang-orang Arab yang berada di bawah pengaruh orang-orang Nasrani, ada di antara mereka yang mengamalkan amalan puasa fardu selama 30 hari yang kemudiannya bertukar menjadi 50 hari pada waktu yang tertentu setiap tahun (op. cit., h. 178).

Zaman Islam:

Dalam Islam, puasa terbahagi kepada tiga:

1. Puasa Ramadan.

2. Puasa Khas, seperti puasa nazar dan kaffarah.

3. Puasa Sunat.

Dari segi pusingannya pula, puasa terbahagi kepada dua peringkat, peringkat sebelum Ramadan dan kemudian hanya puasa Ramadan.

Puasa Sebelum Ramadan:

Puasa sebelum Ramadan, terbahagi kepada dua jenis, pertama: puasa `Ashura' dan kedua: puasa tiga hari pada setiap bulan.

Menurut pendapat yang terkuat, puasa `Ashura' sebelum difardukan puasa Ramadan merupakan puasa wajib ke atas orang-orang Islam. Terdapat beberapa buah Hadis yang menunjukkan hukum berkenaan, antaranya Hadis riwayat `Aishah RA. yang menyebut bahawa baginda telah mengarahkan supaya ditunaikan puasa `Ashura', tetapi selepas difardukan puasa Ramadan, seseorang itu bebas sama ada ingin berpuasa puasa `Ashura' ataupun tidak.

Demikian halnya dengan puasa tiga hari setiap bulan, ia juga merupakan puasa wajib sebelum difardukan puasa bulan Ramadan (op.cit., h. 181-186).

Beberapa Aspek Penting Dalam Puasa `Ashura':

1. Ia menunjukkan kaitan di antara Nabi Muhammad SAW. dengan umat-umat sebelumnya dalam ketaatan kepada Allah.

2. Mengagungkan hari-hari bersejarah kerana pada hari itu Allah telah berkenan memenangkan yang benar ke atas yang batil (dengan menyelamatkan Nabi Musa AS. bersama-sama pengikutnya menyeberangi Laut Merah).

3. Merupakan kesempatan untuk memberitahu kepada orang-orang Yahudi tentang adanya hubungan agama di antara syari`at Nabi Musa AS. dengan syari`at yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW., di samping adanya hubungan di antara umat Muhammad dengan umat-umat yang sebelumnya, terutamanya setelah adanya beberapa peristiwa yang menunjukkan mereka menolak ajaran Nabi SAW.

4. Dan yang utamanya ialah melatih kaum muslimin mengenai kewajipan berpuasa pada masa-masa tertentu yang dilakukan secara bersama. Sebab, puasa yang dijalankan oleh Nabi Muhammad SAW. pada hakikatnya adalah satu penerusan kepada puasa yang telah lama berjalan di kalangan orang-orang Makkah, tetapi tidak dalam bentuknya yang serentak dan bersama. Puasa yang dilakukan baginda ini sebagai langkah awal untuk menerima puasa Ramadan yang akan difardukan. Kerana itulah ketika puasa Ramadan difardukan maka puasa `Ashura' tidak diwajibkan lagi (Atiyyah Muhammad Salim, h. 13-14).

Puasa Ramadan:

Puasa Ramadan difarjukan pada 2hb. Sya`ban, tehun ke 2H. menerusi 4 ayat dari surah Al-Baqarah, iaitu ayat-ayat 183-187. Ayat-ayat ini tidak diturunkan serentak, malah ia diturunkan satu demi satu yang dipisahkan dengan jarak masa yang tertentu.

Keempat-empat ayat tersebut telah memberi penjelasan terperinci tentang masa, cara dan apa-apa tegahan semasa berpuasa. Ia tidak membiarkan baginda menjelaskannya, tidak seperti ibadat-ibadat lain yang memerlukan Hadis Amali dari baginda yang menjelaskan cara perlaksanaannya dengan betul.

Sebagai contohnya, ayat pertama menunjukkan hukum melakukan puasa yang difardukan ke atas orang-orang Islam, ia juga ke atas umat-umat lampau.

Pada peringkat ini, puasa orang-orang Islam tidak berbeza dengan cara berpuasa orang-orang Yahudi, iaitu selama 23 jam, bermula selepas seseorang itu sembahyang isha` atau selepas dia tidur sesudah waktu maghrib. Ia berterusan sehingga ka waktu jatuh matahari pada hari berikutnya.

Cara berpuasa pula di dalam bentuk pilihan, iaitu sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh menggantikan hari dia berbuka itu dengan memberi makanan kepada seorang miskin bagi setip hari. Kedudukan ini berlanjutan sehingga turun ayat yang merobahnya, iaitu firmanNya yang bermaksud: ...sesiapa yang melihat anak bulan, maka hendaklah dia berpuasa. Dengan itu puasa Ramadan sudah bertukar corak, dari bentuk di mana orang-orang Islam diberikan pilihan sama ada berpuasa atau memberi makanan kepada orang miskin, kepada hukum berpuasa sahaja (tanpa pilihan) sepanjang-panjang bulan itu. Walaupun begitu masa berpuasa tetap seperti asalnya, iaitu bermula dari selepas sembahyang `Isha' atau selepas tidur sesudah waktu maghrib sehingga ke waktu jatuhnya matahari pada hari berikutnya. Kedudukan ini berlanjutan sehinggalah turunnya ayat yang berikutnya: ...diharuskan bagi kamu melakukan persetubuhan dengan isteri-isteri kamu pada malam bulan Ramadan dan firmanNya: ... makanlah dan minumlah sehingga jelas kepada kamu benang putih dari benang hitam menerusi cahayat matahari. Kedua-duanya menjelaskan kepada orang-orang Islam bahawa mereka diharuskan makan, minum dan bertamattu` dengan isteri-isteri mereka pada malam Ramadan. Mereka hanya dikehendaki menahan diri dari perkara-perkara tersebut dan lainnya yang membatalkan puasa bermula dari sejak naik fajar sehinggalah ke waktu jatuhnya matahari hari yang sama.

Dari pembentangan ini kita dapat melihat:

1. Puasa Ramadan berlangsung pada peringkat awalnya dalam kadar masa hampir sehari, iaitu selama hampir 23 jam.

2. Pada permulaannya orang-orang Islam diberi pilihan, sama ada mereka berpuasa atau berbuka, dan mereka dibenarkan menggantikannya dengan memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang mereka tinggalkan atau berbuka.

3. Kemudian, mereka diwajibkan berpuasa sahaja tanpa pilihan dengan kelamaan masa yang sama, seperti puasa Ahl Al-Kitab, iaitu dari waktu sesudah sembahyang `Isha' atau sesudah tidur selepas waktu maghrib sehingga ke waktu jatuhnya matahari pada hari berikutnya.

4. Kemudian, mereka dibenarkan berbuka (makan, minum dan bertamattu` dengan isteri) selepas waktu jatuhnya matahari sehinggalah ke waktu naik fajar siangnya.

Dari pendedahan ini kita dapati bahawa masa untuk berbuka puasa pada peringkat awalnya adalah sama dengan apa yang telah diamalkan oleh Ahl Al-Kitab ketika mereka berpuasa, iaitu bermula dengan jatuhnya matahari dan berakhir dengan: sama ada selepas orang yang berpuasa itu sembahyang `Isha' atau dengan berlangsungnya tidur sesudah jatuhnya matahari pada hari berkenaan sekalipun sebelum melakukan sembahyang `Isha'. Dengan itu, seseorang yang ingin melanjutkan masa berbukanya, dia akan melewatkan sembahynag Isha' dan tidak tidur selepas jatuhnya matahari.

Kedudukan tersebut memberi gambaran jelas kepada kita bahawa puasa Ramadan juga telah difardukan ke atas pengikut Ahl Al-Kitab sebelum Islam. Inilah pendapat sebahagian ulamak seperti Qatadah, al-Tabari dan al-Sudi. Dengan itu maksud firmanNya: .... seperti ia difardukan ke atas mereka sebelum kamu (Ahl Al-Kitab) pada beberapa hari tertentu ialah bulan Ramdan.

Begitulah, antara perkembangan yang berlaku dalam sejarah kefarduan puasa bulan Ramadan sehingga seperti yang kita lakukan pada hari ini. Dan begitu jugalah kedudukan amalan puasa di kalangan umat-umat lampau.