Sunday, August 22, 2010

Zakat Fitrah

DALIL WAJIB ZAKAT FITRAH
 
Zakat fitrah dalilnya bersandarkan kepada Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada yang bermaksud:
 
a) Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”
 
(Abu Daud)
 
Huraian :
  1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam.
  2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.
  3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram)
  4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah)
  5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.
b) Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadhan atas setiap orang Muslim, biarpun dia merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan iaitu segantang kurma atau gandum.”

(Muslim)

GOLONGAN PENERIMA ZAKAT


Ayat ke 60 Surah At-Taubah di atas menjelaskan 8 golongan yang layak menerima zakat, bermaksud;

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT WAJIB ZAKAT

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. 
  2. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya. 
  3. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:
“…Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya” - Riwayat Muslim
  
KADAR ZAKAT FITRAH

Kadar zakat fitrah bagi setiap negeri dikeluarkan oleh pusat zakat negeri masing-masing yang mana kadar ini ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya.

WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5: 
  • Waktu Wajib
          Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
  • Waktu yang Paling Afdhal
          Sebelum sembahyang Hari Raya
  • Waktu Sunat
          Sepanjang bulan Ramadhan
  • Waktu Makruh
          Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
  • Waktu Haram
          Selepas terbenam matahari satu Syawal
 

Sumber:

Takaful Smart Medic

e-zakat

No comments:

Post a Comment